RENCANA...
Mengukur Kematangan Wanita...
TINGGAL empat hari saja lagi menjelang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2009. Namun tempoh lima hari memungkinkan segala-galanya untuk berlaku. Apatah lagi selepas Lembaga Disiplin mengumumkan 'kejutan' yang hakikatnya tidak begitu mengejutkan.
Cakap-cakap mengenai si polan akan digantung telah tersebar sejak dua minggu lalu.
Malah cerita yang sama mengaitkan nama yang juga sama pernah dijaja semasa pemilihan parti 2004.
Lembaga Disiplin cuma berperanan umpama Penyimpan Mohor Besar mengumumkan tarikh Hari Raya yang telah pun terpapar secara terang-terangan di kalendar.
Cuma kaedah menentukan tarikh Hari Raya dan puasa dengan meneropong anak bulan dan kiraan falak, manakala Lembaga Disiplin 'meneropong' salah laku ahli-ahli UMNO menerusi siasatan dan risikan.
Itu cerita Lembaga Disiplin - amaran awal bahawa pemilihan parti lima hari lagi berhadapan dengan pelbagai kemungkinan tidak mustahil.
Tentunya banyak cerita lain mewarnai prapemilihan parti yang kini dilihat digerakkan secara bersungguh-sungguh - mengalahkan pilihan raya umum.
Tempoh kurang seminggu dilihat sebagai peluang terakhir untuk berhabis-habisan baik dari segi tenaga mahupun material.
Jika orang UMNO berani meraih sokongan semasa berlangsungnya kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sudah tentu analogi itu tidak keterlaluan.
Pastinya di kalangan calon yang bertanding untuk pelbagai jawatan termasuk dalam pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Majlis Tertinggi turut menawarkan cerita-cerita menarik.
Misalnya berita yang bertiup kencang dalam Pergerakan Wanita UMNO. Kononnya ada perwakilan yang terkurung dan dikurung.
Motif pengurungan itu dikatakan supaya perwakilan di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang tidak bertemu dengan calon-calon yang akan bertanding. Mungkin juga arahan kurung mengurung itu berlaku di negeri-negeri lain tetapi tidak sehebat di Johor dan Pahang.
Alasannya - bimbang para perwakilan yang berkuasa menentukan barisan serta corak kepimpinan bertukar fikiran di saat-saat akhir.
Bimbang akan berlaku personal touch (istilah yang difahami oleh perwakilan) sehingga boleh menukar undi yang sebelum ini telah pun diperuntukkan kepada calon lain.
Benarkah kisah kurung mengurung ini? Dan mengapa agaknya kisah itu berlegar di Johor dan Pahang?
Menarik juga mengikuti penjelasan panjang lebar orang kuat Wanita UMNO di Johor, Datuk Halimah Sadique mengenai insiden kurung mengurung itu.
Rumusannya, tidak timbul isu tersebut kerana menurut 'penjaga Wanita UMNO' di selatan tanah air itu tidak ada perwakilan yang dikurung (baik di dalam hotel mahu pun di mana-mana).
Para perwakilan bebas bertemu sesiapa sahaja - keikhlasan serta kata putus mengenai siapa calon pilihan hati ada di tangan perwakilan. Jika dikurung selama mana pun dan cuma dilepaskan pada hari pemilihan, belum tentu dapat mengikat hati mereka untuk setia pada yang satu.
Begitu juga Wanita UMNO di Pahang. Seorang ketua bahagian ketika ditanya mengenai khabar pelik itu selamba menjawab: "Tidak ada kurungan atau dikurung, kita demokrasi bebas jumpa sesiapa sahaja."
Agak memeranjatkan apabila ada kalangan perwakilan memberitahu, kisah kurung mengurung itu bermula dengan cerita yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Berita itu disebar luas ke seluruh negara termasuk ke bangunan 'kuning' sehingga menuntut pihak yang berkenaan memberikan penjelasan. Khabarnya juga proses 'menjejaki' punca bermulanya SMS itu telah dilakukan dan pengirim awalnya telah diketahui.
Bukankah jika dibongkar dan laporan polis mengenainya dibuat, maka akan terpalit lumpur di wajah Pergerakan Wanita UMNO lantaran menggunakan strategi kempen amat memualkan.
Mengapa perlu diselitkan unsur fitnah dalam cubaan meraih sokongan sedangkan isu personal touch masih belum selesai.
Sudah sampai masanya Wanita UMNO yang dikatakan 'makcik-makcik' mengubah minda dan cara berpolitik. Jangan digunakan sentimen sakit hati, iri hati atau tidak puas hati sehingga memberi gambaran wajah yang amat buruk terhadap Wanita UMNO itu sendiri.
Hentikanlah amalan politik benci-membenci kerana UMNO sebagai sebuah parti yang semakin hilang pengaruh dan sokongan. UMNO sudah tidak sanggup lagi menanggung beban yang dicipta oleh ahli-ahlinya.
Wanita UMNO sepatutnya menampilkan kematangan. Wanita UMNO yang sebelum ini amat berbangga kerana menjadi tulang belakang parti seharusnya bertindak sebagai 'jaring' dalam keadaan parti menunggu untuk jatuh dan berkecai.
Biar apa pun matlamat ahli-ahli Wanita UMNO dalam pemilihan parti minggu depan - mahukan perubahan, mahu menjadi lebih Islamik atau mahu kekal seperti sekarang - yang lebih penting ialah perpaduan di kalangan ahli pergerakan itu.
Tidak ada gunanya kalangan anggota Wanita UMNO terutama para perwakilan terikut-ikut dengan kaedah menyebarkan SMS untuk memburukkan lawan.
Ini kerana jika ada kalangan wanita yang berbuat demikian dan ada juga yang termakan dengan kata-kata hikmat SMS itu, maka di situlah paras ukuran kematangan wanita selepas negara mencapai usia 52 tahun merdeka.
Perubahan yang dituntut oleh wanita sepatutnya membawa mereka maju setapak lagi, bukannya menggunakan teknologi canggih untuk mundur dan menyebarkan fitnah di sana-sini.
Itulah sebenarnya cabaran yang mesti digalas oleh Wanita UMNO tanpa mengira siapa pun yang bakal menaungi mereka kelak. Wanita mesti ingat, sebaik sahaja mereka memilih untuk menganggotai UMNO, tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka ialah berjuang untuk mengukuhkan parti.
Dan apabila parti menjadi kukuh, maka akan terbelalah nasib wanita - jika wanita sudah jemu menjadi penggerak jentera parti, bermakna mereka sengaja memilih untuk bertuankan orang lain.
Hakikatnya masa depan wanita di tangan wanita - kekuatan itu hanya akan tersimpul jika wanita tahu apa sebenarnya tanggungjawab mereka.
Perhimpunan Agung UMNO yang bermula Selasa ini mencari jawapan di mana kematangan wanita dan di paras mana sebenarnya keinginan mereka untuk berubah dan untuk apa perubahan itu.
Petikan dari PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
SALAM 2011 /1432 HIJRAH TNT LEBIH BARKAH
13 years ago
1 comment:
amboi...panjangnya artikel tu...buat sendiri ke atau ciplak dari org lain..hehehe..
apa2 pon..goblokkkk...
Post a Comment